Booking.com

17 Oct 2013

Chuping Valley Bakal Lonjak Ekonomi Perlis

KANGAR, 17 Okt (Bernama) -- Chuping Valley yang bakal dibangunkan di kawasan ladang tebu Chuping dekat sini, bakal melonjak ekonomi Perlis berikutan minat ditunjukkan oleh bakal pelabur dari dalam dan luar negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Koridor, Kawasan Pertumbuhan Baru dan Bandar Baru Perlis, Sabry Ahmad. Beliau berkata mulai tahun depan, kawasan Chuping Valley, seluas lebih 1,200 hektar di ladang tebu itu akan berubah wajah sedikit demi sedikit menjadi pusat industri, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan kawasan perumahan. Bercakap kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Perlis merasmikan program bual bicara Perlis Maju 2015 di Kompleks Tok Arau dekat sini hari ini, beliau berkata, sebanyak RM5 bilion akan dilaburkan di kawasan itu bermula tahun depan. "Kami menjangkakan nilai pelaburan akan meningkat berganda selepas beberapa tahun kerana kedudukan Chuping Valley yang strategik," katanya. Beliau berkata, antara pelaburan awal di kawasan pinggir sempadan itu ialah pelaksanaan pelabuhan darat dikenali sebagai Perlis Inland Port membabitkan kawasan seluas kira-kira 200 hektar. Sabry berkata projek bernilai RM1.5 bilion itu akan merupakan satu-satunya pelaburan darat yang pertama dan terbesar di negara ini yang secara tidak langsung akan mewujudkan infrastruktur perhubungan tambahan termasuk landasan kereta api dan jalan ke kawasan Chuping Valley. Beberapa pelabur luar negara termasuk dari Timur Tengah juga menunjukkan minat untuk melabur di sektor pelancongan termasuk membina resort bertaraf lima bintang, padang golf 18 lubang dan taman tema di kawasan seluas kira-kira 200 hektar membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM2.5 bilion, katanya. Selain itu, pelabur Afrika Selatan pula menunjukkan minat untuk membina terminal grocopter atau helikopter kecil membabitkan kawasan seluas 100 hektar membabitkan nilai pelaburan kira-kira RM505 juta. Sabry berkata pelabur Amerika Syarikat pula berminat untuk mewujudkan industri pembuatan kereta elektrik dan solar membabitkan pelaburan awal sebanyak RM2.5 bilion di kawasan seluas 100 hektar. Katanya, sebuah syarikat tempatan pula menunjukkan minat untuk membangunkan industri solar membabitkan kawasan seluas lebih 60 hektar bagi menghasilkan 50 megawatt tenaga membabitkan nilai pelaburan RM300 juta. Beliau berkata, dua institusi pengajian tinggi juga bakal diwujudkan di Chuping Valley dan perbincangan lanjut sedang dilakukan antara kerajaan negeri dan institusi pengajian itu. Sementara itu, kira-kira 500 pemimpin masyarakat, wakil jabatan dan agensi serta sektor swasta menghadiri program bual bicara itu yang turut melibatkan pameran jabatan dan agensi yang terbabit dengan pelaksanaan Perlis Maju 2015. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment